Friday, June 10, 2011

BILA TAMAK ......JADILAH HINA......

BILA TAMAK ......JADILAH HINA......
     Sesungguhnya tidak akan berkembang-biak segala cabang-cabang dan ranting-ranting kehinaan itu,  melainkan kerana terdapatnya benih-benih tamak dalam diri seseorang hamba.
  • Tiada kenderaan,  inginkan kenderaan biarpun sekadar yang buruk;
  • Sudah dapat yang buruk,  inginkan pula yang baru;
  • Sudah dapat yang baru,  inginkan pula yang "ada class"
  • Sudah dapat kerja yang pendapatannya cukup untuk menyara anak isteri,  inginkan pula jawatan lain yang lebih tinggi dan baik;
  • Sudah dapat jawatan yang tinggi,  teringin pula menjadi orang nombor satu;
  • Bagi pekerja biasa pula,  tidak cukup dengan masa biasa,  ditambah lagi dengan "kerja lebih masa" atau buat "part time" di tempat-tempat lain,  sehingga sanggup tidak tidur malam tetapi sanggup meninggalkan kuliah agama atau terus sahaja tidak sembahyang.
     Demikianlah beberapa contoh sekadar menunjukkan bagaimana sifat tamak itu membenihkan dan menumbuhkan sifat-sifat dan tindak-tanduk yang hina.  Yang jelasnya dengan sifat Tamak itu,  seorang hamba yang asalnya mulia,  akan jadi hina.  Yang sedar diri akan jadi lupa diri.  Mereka jadi hina dan lupa daratan kerana tidak bersifat;
  • sebagai seorang yang Qanaah(memadai dengan apa yang ada)
  • sebagai seorang hamba yang yakin kepada Allah ;
  • sebagai seorang yang percaya dengan kadar dan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala;
  • sebagai seorang yang tidak ragu-ragu pada janji-janji dan keterangan Allah Taala
  • berterima kasih dengan Allah dalam setiap hal
  • bersyukur dengan kadar nikmat anugerah Allah
  • sebagai seorang yang reda dengan Qada' dan QadarNya
Dengan ini tiada jadi tamak itu melainkan daripada waham kerana makna waham itu ialah syak dan ragu-ragu dengan Qada' dan Qadar Allah serta Kasih Sayang Allah terhadap hamba-hambaNya.
Bila telah sah dan sabit seseorang itu dihinggapi penyakit Tamak ini,  maka akan tumbuh dan berkembang-biaklah sifat-sifat kehinaan yang keji dan tercela seperti;
  • rakus,
  • hubbul dunia,
  • kasihkan pangkat,  kasihkan harta,  kasihkan kemuliaan,
  • dengki sesama manusia,
  • khianat sesama rakan dan saudara,
  • adu-domba,
  • fitnah kepada yang tidak berdosa,
  • bercakap bohong dan berbelit-belit,
  • zalim, pemarah,
  • kufur nikmat,
  • tidak redha,
  • suka menindas,
  • dan berbagai-bagai lagi sifat-sifat yang hina lagi keji.
     Hina dan kejinya sifat-sifat ini  kerana ia dikaitkan dengan sifat-sifat yang layak pada h**w**n dan iblis. Tamak itu dipinjamkan(ditentukan maksudnya) dengan makna benih yang menjadi asal atau punca. Manakala kehinaan itu ialah sebagai cabang-cabang dan ranting-ranting kepada Tamak.
     Maka barangsiapa tamak ia,  nescaya hina ia atas sekadar tamaknya kerana bahawasanya tamak dalam sesuatu itu hanya sesungguhnya jadi ia daripada kasihnya(kecenderungan). Ini membawa maksud barangsiapa tamakkan sesuatu,  nescaya hinalah kedudukannya di sisi agama dan Allah.  Kadar hinanya dan jahatnya pula bergantung kepada kadar ketamakkan yang ada padanya;
  • Tamakkan rezeki yang ada pada tangan orang lain menjadikan dia seorang yang bersifat dengan dengki dan khianat.
  • Tamakkan pujian dan penghargaan dari makhluk di atas sesuatu amal atau kebajikan yang dikerjakan,  menjadikan ia seorang yang suka berlagak,  bermuka-muka dan riya'.
  • Tamakkkan kasih dan sayang dari seorang perempuan/lelaki,  menjadikan ia seorang yang sanggup menggadai maruah diri dan agama demi kerana memuaskan nafsu cintanya.
  • Tamaknya seorang ahli korporat yang ingin meluaskan dan memonopolikan rangkaian perniagaan,  menjadikan ia seorang yang kapitalistik,  individualistik yang sanggup melihat orang lain susah asalkan ia senang.
  • Tamaknya seorang pemimpin yang ingin mengekalkan kuasanya,  akan menjadikan ia seorang yang kejam seumpama seorang diktator atau Fir'aun yang sanggup membunuh musuh-musuh politiknya.
  • Tamaknya seorang ulama/Tok Guru yang ingin mendapatkan ramai murid dan pengikut,  menjadikan mereka seorang yang hina kerana suka mengumpat-umpat dan mengatakan kelemahahan dan keburukan ulama-ulama lain.
  • Tamaknya seorang murid yang ingin mendapatkan perhatian yang lebih dari guru,  menjadikan ia seorang yang hina dengan sifat mementingkan diri sendiri.
     Pendek kata,  Tamaknya seseorang itu kepada sesuatu itu terjadi dan berkembang  kerana adanya keinginan dan kasihnya ia kepada "sesuatu".  Dengan itu, barangsiapa kasih akan sesuatu,  maka jadilah ia akan hamba sesuatu.
  • Kasih akan harta,  maka jadilah mereka hamba kepada harta
  • Kasih akan pujian dan sanjungan manusia,  maka jadilah mereka hamba kepada manusia,
  • Kasih akan perempuan atau lelaki yang dicintai sehingga sanggup melakukan maksiat,  maka jadilah mereka hamba kepada lelaki atau perempuan itu.
  • Kasih kepada pangkat dan kuasa,  maka jadilah mereka hamba kepada pangkat dan kuasa.
     Demikianlah contoh-contoh kerendahan hemah dan kehinaan seorang manusia yang kasihkan sesuatu sehingga sanggup menghambakan dirinya kepada apa yang diingininya sebagaimana maksud : Dan hinalah baginya dengan sekadar kasihnya dalam dalamnya
     Jika kita perhatikan keadaan kehidupan manusia di sekeliling kita hari ini,  maka nampak jelaslah pada kita betapa ramainya manusia-manusia di alaf baru ini,  memburu dan mencari tuhan-tuhan lain,   menyembah tuhan-tuhan lain,  sedangkan sewaktu-waktu mereka dakwakan bahawa mereka adalah orang Islam yang tulen.  Sungguh keliru dan mengelirukan!!!.



1 comment:

  1. thanks lah,ni memang something yang saya betul-betul perlu tahu (:

    ReplyDelete