NAMA BLOGGERS

Friday, July 6, 2012

JANGAN SEKALIPUN LUPA, MAUT AKAN DATANG PADA BILA-BILA MASA SAHAJA.



"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)". (Al-Jumu'ah 62:8)
Semua perkara yang kita lihat di sekeliling kita, kawan-kawan kita, saudara-mara, dan semua benda hidup di dunia ini akan pasti suatu hari nanti mati, sebagaimana berjuta-juta manusia yang hidup sebelum kita. Fakta ini dinyatakan di dalam ayat al-Qur'an yang berbunyi,
"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan".(Al-Anbiyaa' 21:35)
Melupai kepastian ini menandakan kurangnya kesedaran. Manusia tidak dapat lari daripada maut dan pastinya akan mati kerana sebab-sebab tertentu pada satu masa dan tempat yang tidak diketahuinya.
Ingatlah, kecantikan, glamor, status, harta benda atau usia muda tidak dapat menghalang kematian seseorang. Walaupun ramai manusia sedar akan realiti ini, mereka cuba mengelak daripada memikirkan hal kematian dan cuba melupakan perkara ini. Tetapi, hanyalah penipuan terhadap diri sendiri. Oleh sebab itulah, Rasulullaah (sollalahualaihiwassalam) juga mengingatkan orang-orang beriman supaya “selalu ingatkan mati” (Tirmidhi). Samada kita memikirkan perkara yang tidak dapat dielakkan ini atau tidak, maut pastinya datang kepada kita:
"Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmaut" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!"(Qaaf 50:19
Baris-baris ini mesti mengingatkan kita betapa dekatnya kematian itu. Namun, cuba fikirkan perkara ini dengan lebih mendalam; siapa tahu, mungkin maut datang menemui kita sebelum kita sempat untuk menghabiskan bacaan ini. Oleh itu, ingatlah, kematian adalah sangat dekat dengan kita sebagaimana ia dekat dengan semua orang.
Bertentangan dengan persepi umum, maut bukanlah peringkat terakhir kepada turutan peristiwa. Apabila tibanya masa, Allah akan menghantar malaikat kepada mereka yang telah ditakdirkan mati pada masa berkenaan dan mengambil roh orang itu secara tiba-tiba, pada masa yang tidak dijangka. Ia mungkin terjadi tepat pada saat ini, sebelum kita sempat bangun daripada kerusi kita, malaikat maut akan muncul di hadapan kita secara tiba-tiba. Kita mungkin dikelilingi oleh kawan-kawan atau ahli keluarga, tetapi mereka tidak dapat merubah kemungkinan ini; mereka tidak boleh dengan apa cara sekali pun menghalang kita daripada maut. Oleh itu, jangan sesekali lupa, setiap roh akan diambil oleh Malaikat Maut yang diutuskan oleh Allah untuk melakukan tugas itu dan akan kembali kepada Allah.
Namun, idea yang kita akan mati bila-bila masa sahaja mungkin sukar untuk difahami. Memikirkan perkara-perkara yang masih perlu dicapai membuatkan kita terasa terlalu awal untuk kita meninggal dunia. Kenyataan sebenarnya ialah, hanya Allah yang menentukan masa kematian. Tidak seminit bertambah atau berkurang seseorang itu boleh hidup selain daripada masa yang telah ditetapkan kepadanya. Maut menemui roh seseorang pada masa terbaik yang telah ditentukan dalam takdirnya:
"Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan". (Al-Munaafiquun 63:11)
Pernahkah kita terfikir apa yang dialami oleh badan kita semasa mati?
Tidak kira sama ada kita cantik atau kaya, badan kita yang kaku akan terbaring di dalam bilik atau di bilik mayat. Dibaluti dengan kain kafan, badan kita akan diletakkan di dalam keranda yang sempit. Kereta jenazah akan membawa badan kita ke tanah perkuburan di mana mayat kita akan ditempatkan di dalam liang lahad. Tanah akan menutupi kita. Badan kita, yang tinggal tulang dan daging akan mula reput dan menjadi busuk. Akhirnya, tiada apa yang tinggal kecuali tulang-tulang. Jangan sesekali lupa bahawa kita akan menemui hari itu, akhirnya badan kita akan keseorangan di bawah tanah.
Mayat yang kaku adalah objek yang kita perlu mengambil pelajaran. Mayat sukar untuk dibiarkan walaupun untuk beberapa minit. Pernahkah kita terfikir kenapa tubuh manusia yang mampu mempertahankan kekuatannya untuk jangka hayat seumur hidup menjadi sangat lemah selepas meninggal? Ini adalah sesuatu yang perlu kita fikir-fikirkan kerana mengingati tubuh kita yang akan reput – dan tubuh-tubuh orang yang kita sayangi – akan membantu kita untuk tidak lupa kepada hari akhirat dan tidak terikat dengan dunia ini.
Walau bagaimanapun, majoriti manusia terlalu taksub dengan aktiviti-aktiviti harian yang kurang penting dan melupakan hari yang tidak dapat dielakkan ini. Namun, ini ialah kesilapan yang pasti; kegagalan mereka untuk mempersiapkan diri untuk hari akhirat akhirnya akan membawa mereka kepada hukaman yang selama-lamanya. Oleh itu, sentiasa beringat bahawa maut pasti menemui kita pada suatu hari nanti, maka kita perlulah berusaha dengan gigih untuk melakukan amal kebaikan supaya mendapat keredhaan Allah. Tuhan kita, Yang Maha Berkuasa dan Maha Adil, memberikan kita masa yang cukup kepada setiap orang untuk untuk mengambil langkah-langkah berjaga terhadap amaran-Nya. Jangka masa ini, walau bagaimanapun hanya terbatas kepada kehidupan didunia sahaja. Oleh itu, seseorang hanya boleh bertaubat dengan ikhlas untuk segala kesalahannya di dalam dunia ini sahaja. Sebaik sahaja maut datang, tidak akan ada lagi peluang untuk memperbaiki kesalahannya. Sebaliknya, dia akan berasa menyesal untuk selama-lamanya:
"Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan". (Faatir 35:37)
Jangan lupa yang kematian bukanlah titik noktah; seperti sesetengah pendapat. Kematian bukan bermakna semuanya sudah sampai ke penghujung. Bukan juga tidur yang lena selama-lamanya seperti yang dianggap. Kematian adalah permulaan ke arah realiti dan keabadian hidup; kehidupan ini adalah bergantung kepada cara seseorang membawa diri masing-masing ketika di dunia dan ia sama sekali tidak akan berubah selepas maut datang kepadanya. Kematian ialah pintu kepada kegembiraan dan keselamatan, jika seseorang itu menggunakan masanya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Untuk mereka yang berpaling daripada Allah, walau bagaimanapun, ia menjadi permulaan kepada azab yang berkekalan.
Di dunia ini, Allah meletakkan pelbagai kejadian untuk manusia alami supaya ia menjadi peringatan kepada maut dan hari kiamat. Mereka yang cenderung untuk mengambil peringatan, ia akan membuatkan mereka merenung dengan lebih serius tentang kehidupan mereka dan akan mempertimbangkan semula pandangan mereka tentang kehidupan ini. Walau bagaimanapun, mereka yang mengabaikan peringatan ini, berada dalam kerugian yang besar. Jangan sesekali lupa bahawa mereka yang telah meninggal dunia tidak pernah menjangkakan kematian mereka, sama seperti kita yang masih hidup sekarang, dan maut mungkin akan datang kepada kita pada sesuatu masa yang tidak dijangkakan, seperti semasa kita makan malam atau membuat rancangan untuk hari minggu.
Jadi, jangan sesekali lupa untuk bekerja untuk kehidupan kita di akhirat, sebelum ajal menemui kita dimana pada masa itu kita sudah tiada peluang untuk melakukan amalan baik.
Di dalam Quran, Allah menyatakan bahawa maut bukanlah sesuatu yang boleh ditunda-tunda dan Dia menceritakan penyesalan yang mendalam yang dialami oleh mereka yang telah ditakdirkan meninggal dunia:
"Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh . Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan". (Al-Munaafiquun 63:10-11)

.