NAMA BLOGGERS

Friday, February 13, 2015

Benciku Pada Tok Guru


Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera pada teman-teman dialam maya sekalian.

Apa khabar anda semua? Semoga masih diberikan kesihatan disamping keluarga tercinta.


Sungguh sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu di dalam nota alam maya ini. 
Mungkin anda semua terkejut bukan kerana tajuk nota yang saya kongsikan kali ini begitu hangat
 sesuai dengan hangatnya gelombang Pilihan Raya Umum yang ke 13 negara kita.

Saudaraku sekalian, memang benar sungguh saya pernah membenci Tok Guru Nik Aziz pada 
tujuh tahun yang lampau. Kenapa agaknya saya membenci beliau? Kerana pada ketika itu, saya
 baru berusia belasan tahun dan makanan media kami hanyalah media arus perdana.

Setiap hari kami diinduksikan dengan bahan-bahan berita keburukan beliau, keburukan Parti Islam
 Semalaysia (PAS) dan kemunduran negeri Kelantan. Saya masih ingat lagi ketika saya 
mempersendakan gaya Tok Guru di kelas bersama teman-teman sekelas dan mereka bergelak ketawa.


Namun begitu, Allah takdirkan ketika saya menyambung pelajar diperingkat pengajian tinggi saya 
menerima tawaran belajar itu di negeri Cik Siti Wan Kembang, iaitu Kelantan. Pada ketika itu semua 
saudara mara yang rapat dengan saya mengingatkan agar berhati-hati disana kerana itu
 negeri pembangkang.

Bila sebut negeri Kelantan, semua ada persepsi negatif kerana telah diolah kotak minda kami
 untuk mencurahkan rasa benci pada pimpinan dan negeri pembangkang itu.

Subhanallah.


Begitu hebat susunan Allah swt keatas diriku ini. Ingin sekali saya kongsikan pengalaman saya belajar
 di negeri pembangkang itu.

Hari pertama saya menjejakkan kaki disana sekitar pukul 5 pagi kerana kami baru tiba menaiki 
bas dari Kuala Lumpur, beg sandang saya mengandungi wang bernilai RM 1000 dan semua 
dokumen-dokumen penting untuk urusan sambung belajar tertinggal di stesen bas. Saya hanya 
menyedari beg sandang saya tidak ada pada pukul 9 pagi pada ketika saya sudah berada di asrama.

Segera saya meminta bantuan warden asrama untuk menghantarkan saya ke stesen bas itu agar
 saya mencari beg itu. Saya cukup bimbang kerana semua benda penting dan duit itu adalah
 duit belanja saya. Masih segar lagi di ngiang telinga saya kata-kata warden saya pada ketika itu:

"Jangan bimbang beg tu takkan hilang, kerana ini negeri Kelantan"

Saya seolah tidak mengerti kenapa warden itu berkata demikian. Adakah sekadar kata-kata memujuk
 untuk aku agar tidak begitu risau.

Allahurabbi.

Tatkala kami tiba disana, aku melihat beg sandang yang aku letak diatas bangku stesen bas itu langsung
 tidak berubah kedudukannya dan seolah-olah tidak pernah diusik langsung oleh sesiapa. Sungguh
 luarbiasa didikan negeri pembangkang ini terlintas dibenak fikiranku dan baru saya memahami maksud
 kata-kata warden tadi.


Kisah yang lain, ketika aku keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan yang baru sampai dari Sabah 
untuk kebandar Kota Bharu. Alangkah terkejutnya kami semua bila melihat bandar Kota Bharu
 sebuah bandar yang maju, tidak seperti yang diwar-warkan kepada kami bahawa ia bandar yang mundur.
 Bahkan saya melihat ia lebih maju dari daerahku sendiri.


Bila kami perhati semua papan-papan iklan (Signboard) yang ada di Kota Bharu, apabila ia
 melibatkan gambar wanita pasti ia memakai tudung. Aku pernah melihat, seorang wanita orang
 putih memakai tudung disebuah iklan. Inilah didikan Tok Guru untuk masyarakatnya.


Demikian juga aku melihat papan tanda perniagaan di mana-mana hatta ia dimiliki oleh orang cina
 pun pasti ada tulisan jawi pada setiap papan tanda itu. Sungguh perjuangan mereka sampai kepada
 semua masyarakat tanpa mengira perbezaan fahaman agama.


Pada ketika aku dan teman-teman berjalan di sekitar pasar tamu di berhampiran pasar Siti Khadijah
 berlaku lagi suasana yang baru saya temui. Saat itu berkumandang azan asar, kami melihat segenap
 peniaga disekitar situ terus laksana meninggalkan perniagaan masing-masing tanpa menutup perniagaan
 mereka untuk solat. Subhanallah. Begitu tinggi keyakinan mereka dalam menjaga hak-hak Allah
 pasti Allah menjaga hak-hak mereka.


Selama mana saya belajar di Kelantan tidak pernah sekali pun aku temukan papan-papan iklan yang 
menyebarkan iklan minuman-minuman arak dan sebagainya. Selama itu juga tidak pernah sekalipun saya
 temui pusat-pusat hiburan seperti karaoke dan pawagam. Sungguh aneh bagiku kerana benda itu tidak asing
 bagi kami di Sabah.


Bila menyebut Tok Guru, akhirnya saya bersua muka juga dengan Tok Guru. Pada ketika itu, ada seorang
 teman belajar mengajak saya ke medan ilmu katanya di Kota Bharu pada pagi jumaat. Saya pun ikut dan
 pergi kemedan ilmu itu, suasananya sungguh luar biasa. Kami terpaksa parking kereta lebih kurang
 700 meter jauh dari tempat ceramah itu. Saya melihat begitu ramai orang hadir dan medan ilmu itu 
betul-betul terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu.


Alangkah terkejutnya saya apabila menyaksikan sendiri ribuan orang sudah sampai dan dipentas sana aku
 melihat sebuah susuk tubuh yang tua dan orang itu adalah Tok Guru Nik Aziz. Saya duduk mendengar
 ceramah beliau, dan sedikitpun saya tidak menemukan keburukan yang terkandung dalam ceramah beliau.


Itulah didikan seorang Menteri Besar Kelantan yang membudayakan ilmu pada masyakatnya. 
Kesannya saya memerhatikan besar atau kecil surau dan masjid-masjid yang terdapat di Kelantan
 pasti ada seorang Ustaz yang akan mengajarkan ilmu agama. Suasana ini tidak ada di negeriku.


Persepsi benci terhadap beliau beransur hilang. Masih lagi saya ingat saya pernah solat subuh di masjid 
madrasah beliau di Pulau Melaka. Saya menyaksikan begitu ramai jemaah baik dari penduduk tempatan 
mahupun pelajar madrasah itu datang memenuhi ruangan masjid itu. Beliau akan mengimamkan
 solat lima waktu di masjid itu bahkan beliau juga akan membuat pengisian ilmu disana.


Selesai solat subuh disana, saya sekali lagi berasa hairan kenapa ramai orang datang bahkan puluhan
 orang membawa bayi dan bertemu Tok Guru. Saya menyaksikan Tok Guru akan menggunting rambut
 bayi itu dan akan menyuapkan buah kurma pada bayi itu. Saya bertanya pada salah seorang sudah
 membawa bayi mereka untuk bergunting bersama Tok Guru.

"Kamu semua ni memang asal sini ke? Kenapa bawak bayi untuk bergunting dengan Tok Guru"


Inilah jawapan mereka:

"Tidak semua dari kami berasal dari Kelantan, malah ada yang datang dari Terengganu dan negeri-negeri lain.
 Kami mahu biarlah makanan pertama yang masuk kedalam mulut anak kami adalah dari tangan ulamak seperti
  Tok Guru"
Allahu Rabbi. Rupanya selama ini saya membenci insan yang mulia kerana dia seorang ulamak dan dia bukan
 sahaja seorang menteri besar. Sungguh saya telah berdosa. Persepsi benciku itu meleset sama sekali
 terhadap Tok Guru. Saya difahamkan hampir setiap hari orang akan datang membawa bayi yang baru lahir
 untuk bergunting dengan Tok Guru.

Pernah juga saya menyaksikan disaat ada majlis besar peringkat IPT negeri Kelantan di Kelantan Trade Centre,
 Kota Bharu, yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan. Entah kenapa saya seolah terasa gembira saat
 Tok Guru akan tiba, sengaja saya duduk di kerusi hujung tempat laluan orang yang akan masuk kedalam dewan
 itu, agar saya dapat memerhatikan Tok Guru dari jarak yang dekat.


Subhanallah. Saat Tok Guru lalu betul-betul disebelah saya, saya dapat memerhatikan beliau mengenakan 
kasut yang popular dengan jolokan kasut kungfu. Setahu saya harganya tidak kurang dari RM 10 sahaja. 
Saya menyaksikan pakaiannya yang biasa dan diserasikan dengan kain pelekat dan serban pada kepalanya.
 Sungguh zuhudnya pemimpin bergelar Menteri Besar sepertinya.


Selama saya belajar di Kelantan, tidak ada seorang pun yang kempen untuk kepada saya perihal PAS
 mahupun perihal kebaikan Tok Guru. Namun, hati saya terbuka untuk mendokong mereka kerana
 saya menyaksikan sendiri, pemerintahan seperti inilah pemerintahan sebenar. Kalau baik pemimpin
 sesebuah negara itu, maka baik pula natijah kepada negara dan masyarakatnya.

Pemimpin seperti beliaulah pemimpin yang diidamkan oleh masyarakat sebenarnya. Saya sendiri menyaksikan
 itu semua secara realitinya, dan barulah saya sedari rupanya segala tomahan dan fitnah dimedia arus perdana
 itu adalah rekaan semata bahkan ianya adalah cerita menipu rakyat.

Justeru itu, hari ini begitu bersejarah bagi saya. Saya baru balik melihat ceramah perdana PAS dan
 pakatan rakyat di daerah saya sendiri. Sungguh saya menangis kegembiraan, kerana tanda kemenangan
 itu telah hadir didaerah ini.

Kalau benar mereka mentadbir negeri ini, sungguh kisah-kisah yang telah kulalui di sana pasti akan
 kulalui juga disini. Justeru itu, teman-teman sekalian. Kita sayangkan negara ini, marilah kita memilih
 pemimpin yang boleh menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. In shaa Allah.

Tidak ada niat untukku berkempen dalam catatan ini. Namun, sekadar luahan hati seorang anak bangsa
 yang pernah membenci seorang ulamak namun kini cukup menyayangi dan mengagumi beliau. Segeralah kita
 membuka minda dan hati agar membuat keputusan yang terbaik dalam PRU kali ini.


Agar suatu masa nanti anak cucu cicit kita akan menerima budaya ilmu dan bukannya budaya hiburan
 yang melalaikan. In shaa Allah. Semoga kita semua diberikan kemenangan. Aamiiiin.

Mohon maaf andai catatan kali ini berunsur politik, namun tidak pula ingin meleraikan ukhuwah sesama 
muslim meskipun berbeza ideologi fahaman politik. Saya hormati prinsip anda dan saya mohon hormatilah
 prinsip kami yang ingin melihat negeri ini ditadbir oleh perjuangan yang membawa perubahan khususnya
 perjuangan negara Islam yang syumul.

Al Bakarah Ayat 208:


"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) 
segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan sesungguhnya 
Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata"


SUMBER :  http://jumatms.blogspot.com/

Solat Jenazah Tuan Guru

.