NAMA BLOGGERS

Wednesday, September 28, 2011

ANTARA CIRI-CIRI ORANG MUNAFIK


ANTARA CIRI-CIRI ORANG MUNAFIK

   Munafik merupakan satu kalimah yang tidak asing untuk disebut dan didengar kita saban hari dan masa tetapi hakikat yang sebenar tentangnya kadang-kadang masih samar dalam pemikiran kita. Tidak dapat dinafikan bahawa sifat-sifat yang menjadi pegangan golongan munafik kadang-kadang dihidapi oleh kita samada dalam keadaan sedar atau pun tidak seperti suka menipu, melanggar janji dan mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas bahu kita. Dalam memastikan diri kita tidak terjerumus dalam lembah munafik maka wajar kita renungi beberapa ciri-ciri golongan munafik sebagaimana diberitahu oleh Allah dalam al-Quran dan juga rasulNya ke arah menghindarkan diri kita daripada bersifat dengan sifat itu yang boleh membahayakan aqidah dan diri kita terutama pada hari akhirat nanti. Mengetahui perkara buruk bukan bererti kita mahu menirunya tetapi bertujuan untuk  menghindarinya sedaya yang mungkin sebagaimana ungkapan imam al-Ghazali : Sesungguhnya mengetahui perkara negatif itu bukan untuk mengikutinya sebagai teladan tetapi bertujuan untuk menghindarinya dan dijadikan sempadan.
     Munafik ialah orang-orang yang berpura-pura keimanannya di mana pada zahirnya nampak beriman dengan lidahnya mengakui ke Esaan Allah dan kerasulan nabi Muhammad s.a.w sedangkan pada hakikat batinnya yang sebenar penuh dengan kekufuran dan kesesatan. Mereka menentang kebenaran dengan kebatilan, menjual petunjuk membeli kesatan, memilih kufur menolak iman, memperjuangkan bid'ah ganti daripada sunnah dan memilih azab daripada nikmat. Munafik terbahagi kepada 2 iaitu :
     1. Munafik iktiqad iaiatu pegangan terhadap pokok persoalan iman bersikap dan bersifat nifaq atau penipuan maka golongan ini kekal dalam neraka, sekiranya mati tanpa bertaubat
kepada Allah dan memperbetulkan semula iktiqadnya.
     2. Munafiq amali iaitu amalan-amalan dalam ibadatnya bersifat nifaq atau penipuan seperti beramal kerana seseorang atau sesuatu selain Allah. Golongan ini melakukan dosa yang memerlukan agar bertaubat kepada Allah. Mereka akan dimasukkan ke syurga sesudah diazabkan dalam neraka.
Antara ciri-ciri munafiq
     1. Berpenyakit hati
Maksud firman Allah:
   Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)."(Al-Baqarah: 10)
     Antara penyakit hati yang disebutkan dalam ayat itu ialah sebagaimana berikut :
     a. Kebodohan diri sendiri di mana golongan munafik terlalu yakin bahawa segala kerja jahat mereka tidak akan diketahui dan disedari oleh orang mukmin sedangkan mereka lupa bahawa Allah mengetahui segala-galanya.
     b. Tidak berpendirian di mana mereka sentiasa merasa cemas dan bimbangkepada suasana sekitar yang mana tetap akan kembali kepada Islam dengan pertolongan Allah dan akan terhapusnya kebatilan. Mereka sentiasa mencari jalan penghalang agar kebenaran dapat dikaburkan dan dipandang serong.
     c. Menentang kebenaran iaitu dengan menghalang dan mengfitnah orang yang benar-benar berjuang di jalan Allah agar segala kejahatan dan penipuan mereka selama ini dengan menjual dan mencipta Islam palsu tidak terbongkar dan disedari oleh orang ramai. Benarlah firman Allah:
     "Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran). Katakanlah (wahai Muhammad): "Ejek-ejeklah (seberapa yang kamu suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut (terdedah untuk pengetahuan ramai). Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"(At-Taubah: 64-65)
d. Berperasaan syak terhadap agama
1.Firman Allah:
     " Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir"(At-Taubah: 125)
     Mereka sentiasa berperasaan syak terhadap kemampuan sistem Islam dalam menjamin kemajuan dan keadilan sepanjang zaman, syak tentang keamanan dan kestabilan jika pelaksaan hukum Islam dijalankan.
     2. Melakukan kebinasaan di muka bumi
Firman Allah:
     " Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.  Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya."(Al-Baqarah: 11-12)
     Golongan ini sentiasa merancang dan berusaha ke arah menjauhkan umat manusia daripada Islam yang menjamin keamanan sejagat melalui media masa, mendapat bantuan daripada kuffar termasuk yahudi dalam menghadapi kebangkitan gerakan Islam dan menggadaikan agama dengan menghinanya sehingga menakutkan orang belum Islam sehingga wujudnya suasana yang tegang dan takut kepada Islam. Mereka lebih gembira melihat keadaan yang penuh kekeliruan dan kekecohan daripada melihat bangkitnya Islam dengan kebenarannya.
     3. Menuduh orang mukmin dengan bodoh dan tolol
Firman Allah: 
     "Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."(Al-Baqarah: 13)
     Mereka sanggup menghina ulama' yang lebih arif tentang Islam dan sanggup hina Nabi s.a.w dan Islam itu sendiri kerana merasai bahawa mereka lebih cerdik dan pakar dalam bab agama dan keduniaan. Mereka berusaha menjadikan para mufti, qadhi dan ulama' sebagai orang yang patuh dan taat pada kejahilan mereka demi menjaga pangkat dan kedudukan mereka. Agama hanya digunakan untuk menangkis dan menyembunyikan penipuan mereka terhadap Islam. Mereka lebih rela meminta nasihat daripada orang kafir dan anti-hadis daripada menerima teguran daripada ulama' akhirat.
     4. Kuat permusuhan dan bongkak dengan dosa
Firman Allah:
     "Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah" timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal."(Al-Baqarah: 204-206)
     Ayat ini menunjukan bagaimana buruknya perangai orang munafik dan petahnya mereka bercakap sehingga ramai orang beriman tertarik dengan tutur katanya yang lembut, ucapan yang menarik dan penuh hujah aqli yang mengelirukan malah mereka sanggup bersumpah bagi menyatakan ketulusun hati mereka sedangkan mereka berniat jahat dan melakukan semua itu untuk memperolehi sesuatu yang diidamkan. Mereka sanggup mencipta Islam dan meletakkan mereka yang mampu memutar belit tentang Islam sebagai perisai sehingga mengelirukan rakyat untuk mendapatkan sokongan. Setelah mereka mendapat sokongan hasil propaganda yang menggadai prinsip Islam yang sebenar maka mereka menggunakan kuasa yang telah diperolehi itu untuk mengaut kekayaan negara untuk mereka dan kroni mereka dan juga menyekat kemaraan gerakan Islam dengan mengegam' ulama', membuang imam yang tidak menyokong kezaliman dan kesesatan mereka, mengawal peranan masjid yang sebenar dan sebagainya. Inilah antara ciri-ciri munafik yang jelas berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Peranan kita ialah berusaha menghindarinya daripada diri kita, keluarga dan masyarakat setempat seterusnya negara dengan berusaha memberi penjelasan yang sebaik mungkin agar umat Islam tidak tertipu buat sekian kalinya. Sesugguhnya seorang mukmin itu tidak akan terjatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.

1 comment:

Unknown said...

semoga kita jauh dari ciri-ciri ini..amin

.